Pernah menjanda selama hampir 11 tahun, wanita yang cukup berdikari ini memilih seorang ahli perniagaan yang biasa-biasa sahaja untuk memenuhi waktu bahagianya kini. Malah, dia sendiri tidak pernah menyangka akan bertemu jodoh kembali.

Bercerita kembali detik-detik awal, dia menerima lamaran, Maria tidak menolak suaminya ini ada faktor berbeza dari lelaki lain yang pernah melamarnya.

“Saya pernah menerima lamaran daripada lima lelaki, dan ada yang sudah memberi cincin tetapi saya pulangkan semula. Sampai keluarga saya yakin dan anggap yang saya akan membujang sampai bila-bila.

“Saya mengenali suami saya atas dasar kerja pada mulanya. Kami tidak pernah ada skandal seperti yang diberitahu orang. Selepas dia bercerai kami mula baik, dan dia melamar saya. Akhirnya kini saya adalah seorang isteri yang bahagia di sisi dia,” katanya yang mempunyai seorang anak bernama Mizan Ashley yang kini berusia 19 tahun hasil perkahwinan pertama.

Dikatakan perampas dan penggoda, bagi Maria dia sudah menjangka perkahwinan kali kedua ini tidak akan dilaluinya dengan aman.

Malah sejak belum berkahwin dengan Rahman, Maria sendiri sudah terus-terusan dilabel dengan pelbagai tuduhan tidak berasas. Tidak mahu perkara ini mengganggu kehidupan keluarganya dia lebih senang untuk tidak ambil peduli tentang semua cakap-cakap yang memeningkan kepala.

“Sebenarnya apa yang orang lihat sekarang saya sudah jangka. Malah, sebelum berkahwin sudah ada yang memberi amaran kononnya saya akan lalui apa yang sedang berlaku hari ini. Tetapi saya tetap yakin untuk berkahwin kerana percaya dia adalah jodoh saya.

“Saya reda dengan apa juga ujian yang diberikan dalam rumah tangga kami. Sebabnya melalui keadaan ini hanya membuatkan hubungan kasih saya dan suami semakin kuat, tidak luntur sedikit pun,” katanya.

Ditanya keistimewaan suami yang berjaya memikat hatinya, tambah Maria, antara sebab utama mengapa hatinya terbuka untuk berkahwin adalah sifat penyayang yang ada pada suaminya itu.

Katanya, di umurnya kini dia tahu, bukan mudah untuk mencari seseorang yang mampu memahami dirinya.

“Mengenali dia sebelum ini saya tahu dia seorang yang cukup bertanggungjawab, bukan sahaja kepada perniagaan tetapi juga keluarganya. Saya lihat bagaimana dia berusaha untuk jadi sebuah keluarga yang bahagia. Saya anggap apa yang kami lalui ketika ini, kebahagiaan ini, rasa kasih sayang ini sebagai hadiah kepada kerja kerasnya selama ini.

“Cara dia melayan anak-anak juga menyebabkan saya cukup percaya dia adalah seorang suami yang baik. Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk menerima dia dalam hidup saya,” katanya tanpa berselindung.

Saya mencari isteri - Rahman

Pada usia seperti sekarang, permintaan lelaki ini dalam perkahwinan sangat mudah. Dia hanya mahu mencari seorang isteri bagi melengkapi seluruh kehidupannya.

“Saya seorang lelaki yang sangat ringkas. Isteri bagi saya perlu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri. Berada di rumah ketika saya ada, menyediakan makanan dan memberikan kasih sayang secukupnya, itu sahaja.

“Sebelum berkahwin dengan Maria itu yang saya minta daripada dia. Kami sudah berbincang, itu sahaja permintaan saya. Maria juga jelas faham dengan apa yang saya mahu. Selepas hampir tujuh bulan berkahwin, saya melihat dia telah menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan baik,” kata si suami, memberi penghargaan buat isteri yang baru dinikahi.

Menolak isterinya ini seorang perampas, Rahman menjelaskan tiada istilah ‘rampas-merampas’ dalam perkahwinannya kali ini. Bersikap jujur, perceraiannya dengan bekas isteri yang dikenali sebagai Datin Karen sebelum sudah lama bermain di fikirannya.

Dia membuat keputusan untuk bercerai dengan wanita itu sudah lama, sebelum mengambil keputusan mengahwini Maria lagi.

“Ini bukan soal siapa rampas siapa, memang saya yang mahu ‘membuang’. Saya bukan muda lagi, tidak perlu saya menipu semata-mata untuk berkahwin dengan orang lain. Saya mahu mencari kebahagiaan melalui perkahwinan baharu ini, itu sahaja sebabnya,” katanya.

Dikhabarkan muflis, ada yang mendesak Rahman menjelaskan keadaan perniagaannya kala ini. Jujur dalam berbicara, Rahman tidak mengelak untuk memberitahu perniagaannya sedikit terganggu dek kerana ekonomi semasa, sama seperti banyak syarikat bumiputera lain juga. Saat-saat ekonomi meleset, bukan hanya dirinya, masalah itu turut menimpa ribuan lagi ahli perniagaan lain, dan ia adalah sesuatu yang normal dalam dunia bisnes.

Namun tidak adil untuk memberitahu hal ini ada kaitan dengan Maria, demikian tegasnya.

“Boleh saya tahu, perniagaan apa yang tidak terjejas sekarang? Saya sudah menjalankan perniagaan selama 30 tahun. Saya sudah lalui naik turun. Ini bukan kali pertama, tetapi tidaklah sampai muflis seperti yang didakwa beberapa pihak.

“Kehidupan keluarga kami masih okey, malah saya masih mampu menanggung keluarga, cukuplah,” katanya.