Paras rupa yang kacak jelita tidak semestinya bijak mengatur kata-kata. Bakat yang hebat bersilih ganti memenuhi ruang kanvas seni juga bukan tiket ekspres untuk berjaya dalam bidang seni.

Berbekalkan semangat yang tidak pernah padam, Nazrief Nazri tegar membentengi apa juga halangan. Malah, tanpa segan silu mengakui, dia pernah tersalah mengatur langkah dalam percaturan seninya.

Pernah terpalit kontroversi hitam yang hampir sahaja memusnahkan kariernya yang ketika itu baru sahaja mula menapak, dia tidak gusar dan berpaling daripada panji-panji cintanya terhadap dunia seni.

Mengakui itu kesilapan lampau yang tidak akan diulangi, anak kelahiran Negeri Sembilan ini seikhlasnya mahu peminat menerima kehadirannya dalam industri seni dengan tangan terbuka.

Tidak mahu lagi dikaitkan dengan gambar yang memaparkan dia hanya berseluar dalam bagi menjayakan pertunjukan fesyen suatu ketika dahulu, pelakon Tanah Kubur ini mahu terus melangkah tanpa berpaling.

“Saya sedar itu silap dan khilaf yang tidak mungkin akan terpadam dalam sejarah hidup. Ketika itu saya terlalu muda. Baru berusia 21 tahun dan sedang gigih mengumpul wang.

“Sekarang saya sudah berubah dan mahukan kehidupan yang lebih terjamin. Apa yang berlaku dahulu, biarlah berlalu. Jangan diungkit-ungkit. Lagipun itu kan cerita lama,” kata Nazrief.

Tidak mahu mengulangi kesilapan dahulu, pelakon berusia 25 tahun ini tekad meletakkan syarat dalam lakonan. Bukan mahu mendabik dada, dia sedar namanya masih terlalu hijau dalam rimbunan seni.

Namun, bukanlah bermakna selepas ini tiada lagi adegan bersentuhan mahupun berpelukan, cuma pelakon Cinta Illahi ini tidak mahu membuka baju atau seluar sehingga menayangkan auratnya.

“Saya akur tugas sebagai seorang pelakon, jadi saya tidak boleh beri syarat sebegitu. Cuma kalau boleh, saya tidak mahulah membuka baju sampai nampak pusat dan lutut. Lagipun, drama serta filem sekarang bukan lagi seperti dahulu.

“Adegan bersentuhan pun susah nak lepas, apatah lagi berpelukan. Jadi bagi saya, itu lebih memudahkan. Peminat pun suka dengan drama-drama sebegitu,” katanya.

Tampil sebagai pengacara buat pertama kalinya menerusi program Sembang Terapi, Nazrief pada mulanya agak terkejut. Siapa sangka dia akan terpilih sebagai salah seorang program berbentuk motivasi pagi itu.

Namun, tanggungjawab yang diberikan harus dipikul dengan sebaik mungkin dan pelakon ini sedar akan ada mata-mata yang sentiasa memerhati tindak tanduknya lantaran kesilapan yang dulu.

Disogok soalan, adakah dia sudah bersedia menerima kritikan, Nazrief sedar dan akur bahawa setiap komen tidak kira negatif atau positif memberi ruang untuk memperbaiki diri.

“Saya tahu, mungkin ramai yang akan mempersoal pemilihan saya sebagai pengacara. Lagi-lagi untuk program yang bercirikan keagamaan ini. Apatah lagi, gambar yang tersebar itu sedikit sebanyak menimbulkan persepsi negatif.

“Namun, inilah ruang dan peluang untuk buktikan saya bukan seperti Nazrief yang dulu. Pengalaman saya mungkin sedikit, yelah baru setahun jagung tetapi itu sudah cukup mengajar saya,” katanya.

Turut menyimpan cita-cita melebarkan bakatnya ke pentas nyanyian, pelakon Demi Cinta Ain ini tidak mahu terburu-buru dan tamak dalam mengejar impiannya. Baginya, biar perlahan rentak alur seninya namun, akan ada kepastian di hujung jalan kelak.

“Teringin juga hendak buat single. Tapi nanti-nantilah. Perlu perancangan rapi, sebab dalam bidang ini kalau terburu-buru sangat, takut tersadung langkah pula. Biar saya fokus dalam lakonan dan pengacaraan terlebih dahulu,” katanya.
Ditanya sesedap mana suara sehingga dia seyakin itu, pelakon ini hanya tersenyum dan menjawab dengan tenang,

“Nanti dengarlah. Kena simpan dulu suara ni,” katanya.