'Kenapa Buang Sampah Berterabur Camni? Susah Makcik Nak Bersihkan'
Ada satu hari itu, ketika saya berada di dalam kereta sedang membalas beberapa mesej sebelum bergerak keluar untuk ke kedai, dari tempat letak kereta saya itu, terlihat kelibat seorang makcik tukang sapu sedang membersihkan sisa sampah yang berterabur di sekeliling tong sampah besar gedabak di rumah sampah.
Ketika itu juga, saya melihat seorang lelaki macho yang agak sado menjinjing beg plastik yang saya yakin berisi sampah sedang berjalan ke arah rumah sampah.
Kira-kira dalam 10 langkah sahaja sebelum sampai ke tong sampah, dia terus membaling bungkusan plastik sampahnya ke arah tong sampah dengan gaya slam dunk. Namun tidak masuk ke dalam tong, tersasar dan terjatuh bersepai di tepi tong sampah.
Tindakan lelaki itu membuatkan makcik itu terpaku tidak terkata dan lelaki macho tadi dengan senyuman paling handsome berlalu pergi ke keretanya di mana si isteri dan anaknya sedang menunggu.
Saya yang tengok dengan ternganga tidak mampu berkata apa-apa. Baru saja membuka pintu kereta dan berdiri untuk menegur kononnya, lelaki itu sudah pun masuk ke dalam kereta dan beredar meninggalkan kami. Saya dan makcik tukang sapu termangu seketika sambil melihat sesama diri.
Makcik tadi meneruskan kerjanya dan mengutip sampah yang bertaburan di depannya. Saya pula memandu keluar dengan perasaan yang berdukacita melihat perangai orang sebegitu.
Bagi menghilangkan kedukaan saya, saya pergi membeli pisang goreng dan berikan kepada makcik tadi. Dia cuma senyum keletihan.
Itu adalah salah satu contoh sikap orang-orang di kawasan pangsapuri saya ini. Ada seorang awek yang kerjanya setiap kali selesai parking kereta, maka akan dibuang segala sampah yang ada dari keretanya di tempat parking tersebut.
Ada seorang kakak yang sering mengajar anaknya agar sampah dilonggokkan saja di tepi tong, bukannya dimasukkan ke dalam tong. Ada juga yang sampahnya diletakkan sahaja di depan pintu rumah berhari-hari.
Ada ibu bapa yang ketika meneman anak bermain di tamna permainan tak ambil kisah bila anaknya buang pembungkus gula-gula, kayu dan cawan aiskrim, plastik jajan dan sebagainya begitu sahaja.
Itu belum cerita tentang sampah di koridor, di tepi tangga, bawah tangga dan di dalam lif.
Inilah sebenarnya sampah masyarakat.
Sedih sebenarnya hidup di kalangan sampah masyarakat ini. Bagi mereka, kebersihan tidak membawa ke syurga. Yuran penyelenggaraan telah dibayar maka tugas pekerja membersihkannya.
Saya hanya mampu menegur golongan yang muda. Namun apabila yang tua melakukannya saya tidak mampu berkata apa-app. Orang tua jiwanya sensitif, egonya tinggi, kalau baran boleh bawa parang ajak bertumbuk dan bertetak. Dari mencari gaduh, moleklah saya mendoakan mereka sahaja walaupun sakit hati dan sakit mata melihatnya.
Di Jepun, anak-anak kecil melambai-lambai hormat pada pemunggu sampah. Kita di sini ibu bapa menunjukkan contoh dengan membaling sisa ke kaki pemunggut sampah.
Macam mana nak ubah sikap orang yang seperti ini pun saya tidak tahu. Sudah tulis buku, tetapi mereka jenis yang tidak suka membaca pula. Tulis di Facebook pun cerita ini tidak sampai pada mereka kerana tidak viral. Nak viral? Cerita macam ini mana ada orang nak share pun? Entahlah, I don't know dah. - Khairul Abdullah |
Tiada ulasan
Catat Ulasan