Fiza Halim Akui Bercinta Selepas Idah
FIZA Elite sudah jumpa kekasih baharu, kali ini dengan suami orang pula. Biar benar ni? Macam tidak seronok pula mendengar heboh ini, apatah lagi dia baru saja bercerai dengan penyanyi Adam, pada hujung 2015. Jika benar, ini akan menjadi perkahwinan kali keempat Fiza, si manis yang kekal awet muda, meskipun sudah menjangkau usia 35. Berjaya mendapatkan Fiza, panjang juga celoteh kami petang itu. Sempat bertanyakan soalan yang sedikit tajam, pun Fiza menjawab tanpa tunjuk amarah. Hits kongsikan dengan kalian.
HITS: Amboi, bukan main gembira sekarang, dengarnya sudah jumpa buah hati baharu, cerita sikit. Betul ke membilang hari untuk bernikah?
FIZA: Sudah jumpa buah hati tu betul. Cuma, cerita sudah mahu berkahwin tu, belum lagi. Masih awal sangat tu. ‘Counting days’ yang jadi status saya di IG tu, berkaitan dengan hal kerja, bukan tentang nak kahwin pun. Saya tak nafikan, gambar lelaki dengan muka ‘bertutup’ tu, memang dialah orangnya. Dia teman lelaki saya sekarang.
Di luar sana sibuk orang bertanya, bila hendak kahwin. Saya pun hendak tanya soalan yang sama juga, bila hendak menikah ni?
Cakap dengan mereka, jangan kecoh pasal saya hendak kahwin. Saya kena ambil masa, kami baru sangat kenal. Awal Januari 2016, baru empat bulan kami mula rapat. Takkan hendak jadi kes sama macam dengan yang dulu, kenal sekejap terus kahwin. Kena berhati-hati, betul-betul yakin, baru ke fasa seterusnya.
Maksud Fiza, dengan Adam?
Ya, tidak saya nafikan keputusan kami berkahwin dulu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa. Kenal sekejap sahaja, terus berkahwin. Agaknya sebab itulah ia mudah rapuh. Tak tahan lama.
Ok, cerita sikit latar belakang orang baru ni.
Kami baru kenal pun. Sekitar Januari lalu. Maknanya dalam empat bulan, begitu. Jadi kena ambil masa sedikit lagi untuk lebih kenal hati budi.
Maknanya tidak akan ada perkahwinan dalam waktu terdekat?
Tidaklah! Paling awal pun hujung tahun ini, atau awal 2017. Tengoklah macam mana. Tak boleh hendak cakap sekarang sebab awal lagi.
Dia ada melamar?
Soal lamaran secara serius tu tidaklah, kami masing-masing sudah matang. Perancangan awal tu, memang ke arah situ juga, cuma masanya belum lagi. Apa yang saya rasa, kami serasi. Tidak dinafikan, hati saya sedang bahagia dengan kehadiran dia. Itu saja saya boleh cakap.
Ada yang kata, baru saja bercerai sudah jumpa orang lain. Apa Fiza hendak jawab?
Kalau hendak kata terlalu awal untuk berkahwin tu, memanglah. Saya pun rasa benda yang sama. Tetapi kalau hendak cakap pasal bercinta, salahkah kalau saya mahu memulakan hubungan yang baharu? Kami mula kenal selepas saya habis idah pada Disember lalu. Saya dan Adam bercerai pada September, taklah baru pun. Salahkah saya untuk punya seorang lelaki dalam hidup, setelah apa yang berlaku sebelum ini? Sebagai manusia biasa, semua orang perlukan kasih sayang dan perhatian. Saya pun macam itu juga. Jangan hendak pandang buruk sebab semua manusia sama saja.
Betul ke dia pilot? Kelas, dari penyanyi terus pilih pilot ni….
Ya, dia pilot. Umur pun memang muda berbanding saya. Dia baru 30 tahun, saya sudah hendak mahu 35 tahun. Kadang-kadang rasa juga yang saya ni sudah tua berbanding dia. Tetapi, apa boleh buat, bila hati sudah suka.
Maaf tanya, betul ke dia suami orang?
Ha, bab ini memang saya geram sangat. Ada orang pandai-pandai cakap yang saya ni jenis suka ambil laki orang. Suka merampas hak orang, apa punya orang ni? Saya memang geram bila ada yang cakap macam itu. Bukan pun. Dia sama macam saya, status dia duda. Duda dua anak. Saya ibu tunggal, dua anak juga. Mungkin sebab itu kami boleh serasi, masing-masing sudah ada pengalaman berkahwin dan berpisah.
Aha, isu ini juga buat Fiza mengamuk di laman sosial, marah sangat?
Ya, bayangkanlah. Jika sehari dua saya boleh diam, saya buat tak peduli. Tetapi apabila hari mood tak berapa baik tu, kena hentamlah mereka yang bijak sangat mengutuk tu. Saya tanya mereka, kalau sekali pun ‘aku ambil laki orang, aku ambil laku kau ke?” Itu saya tanya kepada yang sesuka hati mengata.
Hmmm, nampak macam Fiza tak pandai kawal perasaan, tertekan sangat ya?
Macam mana tak marah, sesedap rasa mengata orang. Apa, kami ni artis tak ada perasaan ke hendak tanya benda bukan-bukan macam itu?
Kebetulan, cerita kalian macam sama saja plotnya, kan?
Ya, tidak dinafikan, banyak persamaan. Harap takkan terjadi lagi kesilapan yang dulu. Kami sering berdoa supaya kali ini kekal dan berakhir dengan baik. Sama-sama mulakan hidup baharu.
Ceritalah sikit, sikap dia yang buat Fiza mudah jatuh hati tu?
Dia romantis, pandai jaga hati, fahami saya. Nak cari yang faham tu susah. Tak kira tua ke muda ke, yang penting dia tahu apa kita suka dan tak suka. Anak-anak pun sudah kenal dia dan amat senang sekali bila ajak keluar sekali. Mungkin ada pengalaman jaga anak-anak sendiri, dia juga senang layan anak saya.
Tiada ulasan
Catat Ulasan