'Kalau tak minat, sila keluar dari Kelantan' - Jurulatih TRW
“KALAU tak minat, sila keluar dari Kelantan,” Itu kata dua pengendali baharu Kelantan, Velizar Popov kepada mana-mana pemain yang tidak lagi berminat membantu pasukannya mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Jurulatih kelahiran Bulgaria itu jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila pasukan kendaliannya terpaksa beraksi dengan 10 pemain gara-gara layangan kad merah ke atas Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-61 ketika menentang Selangor dalam aksi Liga Super di Kota Bharu, malam kelmarin.
“Ada sesuatu yang tidak kena, ia bukan perkara normal apabila mengutip dua kad merah dalam dua perlawanan dalam tempoh tiga hari. Ia sangat tidak profesional kerana kami sekali lagi dipaksa bermain dengan 10 orang pemain, berdepan salah satu pasukan terbaik di negara ini seperti Selangor.
“Pasukan ini boleh beraksi tanpa pemain atau mana-mana jurulatih sekali pun. Sesiapa yang tidak memiliki jiwa bermain untuk Kelantan, anda bebas untuk keluar daripada pasukan ini dengan segera,” katanya dalam sidang media sejurus perlawanan itu.
Dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV itu, Kelantan diaibkan kekalahan terburuk 2-5 kepada Selangor sambil Wan Zaharulnizam menjadi pemain kedua mengutip kad merah selepas Wan Zack Haikal Wan Nor dibuang padang di Shah Alam, minggu lalu.
Gol kemenangan The Red Giants disumbangkan Hafiz Kamal pada minit ke-16, R Gopinathan (m-21), Muhammad Nazmi Faiz Mansor (m-36), Mohd Razman Roslan (m-49) dan Ahmad Hazwan Bakri (m-88) manakala jaringan sagu hati tuan rumah menerusi Blazhe Ilijoski (m-10) dan Dramane Troare (m-59).
Jurulatih berusia 40 tahun itu menyifatkan layangan kad merah itu tidak memberi apa-apa makna dan dia sendiri tidak faham bagaimana perkara seperti itu boleh berulang ketika pasukannya tampil dengan semangat juang tinggi menyaingi kehebatan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan dalam pertemuan tersebut.
“Di Eropah, apabila perkara seperti ini berlaku, saya tidak teragak-agak potong gaji (pemain). Setiap pemain harus faham, tiada sesiapa yang lebih besar dalam pasukan ini kerana pasukan ini sebenarnya lebih besar daripada mereka.
“Sudah tentu saya akan mengambil tindakan kerana pasukan ini menderita akibat dua kad merah itu sedangkan kami beraksi lebih baik dan mampu menewaskan Selangor dalam dua perlawanan itu,” katanya.
Dalam pada itu, Popov mengambil tanggungjawab sepenuhnya kekalahan memalukan itu sambil memohon maaf kepada semua penyokong mereka yang sentiasa memberikan sokongan padu sehingga ke wisel penamat.
“Ia sebahagian daripada perlawanan, ada menang, ada seri dan ada kalah. Saya tidak suka berdrama kerana ini adalah asam garam dalam bola sepak. Anda kena tahu dalam bola sepak ada peraturannya, apabila menang, pujian kepada pemain tetapi bila kalah jurulatih yang kena bertanggungjawab,” katanya.
Tiada ulasan
Catat Ulasan