SAFIEY ILIAS Nyaris Bedah Jantina, Bawa 4 Mak Nyah Ke Pangkal Jalan
JIKA tidak kerana hidayah yang diterima kira-kira lima bulan lalu, usahawan yang juga jutawan muda berusia 22 tahun, Safiey Ilias mengakui kepada Mangga Online beliau akan melakukan pembedahan jantina pada Ogos ini di sebuah hospital tempatan.
Namun, kuasa dan rahsia Allah itu Maha Besar. Tidak mendapat mimpi atau dilanda apa jua masalah, Safiey yang kini selesa berpakaian lelaki serta berkopiah berkongsi pengalaman hidayahnya yang digelar ‘penghijrahan fenomena’ sewaktu ditemui Mangga Online di Ampang, Kuala Lumpur pada 14 Mei, baru-baru ini.
“Saya bersyukur, dapat hidayah hingga saya tak jadi bedah jantina. Sebelum dapat hidayah, memang saya dah nekad ubah semuanya dan nak jadi wanita.
“Masa itu saya tak kisahlah kalau selepas bedah tak boleh jadi lelaki balik. Hidayah itu saya dapat semasa tengah solat. Ianya datang tiba-tiba, tiada mimpi apa-apapun.
“Dulu semasa masih jadi mak nyah, ibu bapa selalu berendam air mata minta saya berubah. Sekarang, ibu bapa adalah orang paling gembira terutama bapa saya.
“Sebelum berubah pada kehidupan lelaki semula, saya selalu berfikir, mampukah saya berubah? Namun, hidayah Allah sangat besar.
“Sekarang, saya hanya ada 15 helai sahaja pakaian lelaki. Masa mula-mula nak beli dulu, rasa macam lain sebab dah biasa berpakaian wanita.
“Sekarang, kebanyakan baju wanita dan juga barangan wanita seperti beg jenama mahal, saya hadiahkan pada kakak-kakak serta saudara lain.
“Cuma, pakaian wanita yang seksi itu saya tak berilah sebab takut nanti jatuh dosa pula,” luah Safiey yang bakal menginjak usia 22 tahun pada 19 Mei ini kepada Mangga Online.
Kisah kehidupan Safiey atau nama sebenarnya, Mohd Safiuddin Ilias yang bergelar jutawan di usia muda sekaligus dengan penghijrahan dari dunia mak nyah telah memberi impak populariti hingga beliau dilihat bagaikan selebriti.
“Saya lakukan semua ini bukan kerana mengejar populariti. Saya mahu kongsi hidayah yang saya dapat terutama kepada golongan mak nyah.
“Sehingga sekarang, saya masih ahli komuniti mak nyah. Setakat ini saya sudah bawa empat orang mak nyah kembali ke pangkal jalan.
“Saya sponsor mereka untuk buang semua silikon dan suntikan hormon hasil pembedahan dulu.
“Saya kongsi semua pengalaman dengan mereka. Saya dah tak mahu kembali pada kehidupan sebagai wanita.
“Bagi saya, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk berkongsi pengalaman hidayah ini kepada semua orang.
“Tak dinafikan ada juga segelintir mak nyah yang beri tohmahan, tapi saya diam sahaja. Niat dan hasrat saya ikhlas untuk bantu golongan tersebut yang mahu berubah.
“Saya selalu berdoa agar Allah terus kuatkan iman saya. Saya juga rajin ikuti kumpulan agama di surau dan masjid,” cerita anak kelima daripada enam adik-beradik ini.
Safiey juga tidak menafikan tohmahan dan tuduhan segelintir pihak bahawa beliau sengaja memperbesarkan penghijrahan tersebut bagi meraih publisiti murahan seterusnya melariskan perniagaan produk.
Tiada ulasan
Catat Ulasan