Header Ads

Pak Cik Ketagih Pil Kuda Pada usia 55 Tahun

KUALA LUMPUR 16 Mei  -  Jerat dadah tidak mengenal usia, malah jika salah langkah tidak mustahil seseorang itu menjadi penagih pada usia senja. Itu yang berlaku kepada Ismail (bukan nama sebenar) apabila terjebak sebagai penagih pil kuda pada usia 54 tahun sedangkan sebelum itu dia tidak pernah mengambil atau mengenali apa itu dadah. Ismail yang kini berusia 55 tahun pada mulanya mengambil pil kuda untuk menambah tenaga kerana dia bekerja sebagai buruh kasar.

“Pakcik tengok jiran-jiran yang ambil pil kuda kuat bekerja walaupun umur hampir sebaya. Dua kali seminggu pakcik ambil.
ANCAMAN pil kuda tidak mengenal usia dan darjat sehingga datuk
“Tak sangka pula akhirnya pakcik terjebak dan kini ketagih,” katanya yang bekerja sebagai buruh kasar di Tumpat, Kelantan.

Ismail yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Nik berkata, sejak terjebak dengan pil kuda kira-kira setahun lalu, kehidupannya bersama isteri dan anak-anak menjadi tunggang-langgang. Jelasnya, dia sering kali menipu isterinya terutama membabitkan soal duit perbelanjaan harian kerana separuh daripada gaji mingguannya akan diperuntukkan bagi membeli pil kuda.

Tambahnya, berbeza dengan pe­nagih lain, dia dikenakan harga RM12 bagi sebiji pil kuda kerana dianggap sebagai penagih baharu berbanding harga antara RM8 hingga RM10 untuk pelanggan tetap.

“Pakcik cuba melawan rasa gian tetapi ternyata sukar. Ketagih pada pil kuda membuak-buak hingga jika pakcik dengar sahaja enjin motosikal tokan (pengedar), pakcik jadi tidak senang duduk.

“Jika di tangan pakcik tiada wang pada ketika itu, pakcik akan tipu isteri dan meminta duit daripadanya kononnya bagi mengisi minyak kereta,” katanya.

Menurut Pak Nik, anak dan isterinya sedikit pun tidak menyedari kegiatannya itu sehinggalah dia ditangkap oleh pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Sejak itu, katanya, barulah dia tersedar dan timbul rasa malu kepada anak dan cucu, tetapi mengakui tidak mudah untuk melawan pe­rasaan ‘rindu’ kepada pil kuda yang sentiasa menguasai mindanya.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.