Header Ads

Ippo Hafiz Pernah Ditentang Keluarga Dalami Bidang Muzik

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ippo Hafiz mendedahkan pernah mendapat tentangan keluarganya apabila dia menyuarakan hasrat untuk menceburi bidang seni.
Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz, 27, berkata, ibu bapanya bimbang dia akan hanyut dengan populariti apabila bergelar selebriti malah menentang keputusannya menyambung pengajian dalam bidang muzik di Akademi Seni Warisan Dan Budaya (ASWARA) sebelum ini.

"Ayah dan ibu sebenarnya mahu saya menjadi seorang Tahfiz atau ustaz malah saya pernah dihantar belajar di sebuah sekolah pondok.

"Bagaimanapun melihat kecenderungan saya terutamanya dalam bidang penulisan lirik dan gubahan lagi mereka akhirnya akur saya menyambung pengajian dalam bidang muzik.

"Mereka meletakkan syarat agar saya bijak membawa diri dan menjaga nama baik keluarga dan amanat dan restu itu saya pegang sehingga hari ini, katanya kepada mStar Online.

Ippo ditemui dimajlis pelancaran album sulungnya berjudul Ippo Hafiz di sini, Selasa.

Album sulungnya itu memuatkan 11 buah lagu yang pernah menjadi lagu tema untuk beberapa buah drama popular antaranya, Rahsia (Teman Lelaki Upahan), Kekal Bahagia(Cinta Si Wedding Planner), HidayahMu Ramadan (HidayahMu Ramadan) dan Irama Kita(Cik Cinderalla Encik Tengku).
Dalam pada itu, mengulas mengenai album berkenaan, Ippo berkata, ia adalah sebuah karya pengenalan tentang dirinya dan kesemua lagu dimuatkan adalah hasil ciptaannya sendiri.
"Sebelum ini pendengar mungkin tidak mengenali siapa saya tetapi mengenali lagu-lagu nyanyian saya dan album ini adalah pengenalan saya kepada peminat," ujarnya.
Sementara itu, menjawab label 'Penyanyi OST', Ippo berkata, dia menganggap ia sebagai satu pengiktirafan kerana baginya tidak mudah untuk sesebuah lagu itu diterima untuk menjadi lagu tema sesebuah drama.
Malah kata Ippo, perkara itu jugalah yang menjadi batu loncatan yang memperkenalkan dirinya sehingga tercalon dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular BH 29 (ABPBH29) baru-baru ini.
"Tiada sebab saya perlu terasa hati dengan label diberikan kerana bukan mudah lagu yang dijadikan lagu tema drama dapat diterima pendengar.
"Alhamdulillah rezeki saya dikenali menerusi platform berkenaan," katanya yang memasang impian untuk bekerjasama dengan Datuk Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Mark Adam dan Melly Goeslow.

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.